MEMAKMURKAN malam
sepanjang Ramadan adalah sunat dan amat dituntut oleh Rasulullah saw. Perkara
ini dinyatakan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad bersabda, maksudnya:
“Sesiapa yang bangun (qiamullail) pada Ramadan dengan keimanan dan pengharapan
diampunkan baginya dosa yang terdahulu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Antara ibadat yang
dituntut sepanjang Ramadan adalah solat Tahajud, membaca al-Quran dan
mengkhatamkannya sekerap mungkin.
Qiamullail pada Ramadan
juga diberi maksud sebagai mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah.
Daripada Aisyah
diriwayatkan bahawa Nabi menunaikan solat Tarawih di masjid, lalu diikuti
beberapa orang bersamanya. Kemudian Baginda solat lagi dan orang yang solat
bersamanya semakin bertambah ramai.
Seterusnya, orang ramai
berhimpun pada malam ketiga dan keempat, tetapi Rasulullah tidak keluar untuk
solat Tarawih bersama mereka.
Apabila tiba waktu Subuh,
Rasulullah bersabda kepada mereka bermaksud: “Sesungguhnya aku melihat apa yang
kamu lakukan. Tiada yang menghalang aku keluar kepada kamu selain kerana aku
takut ia difardukan ke atas kamu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Pada zaman pemerintahan
Amirul Mukminin Umar bin Al-Khattab, umat Islam pada peringkat awal mengerjakan
solat Tarawih secara bersendirian.
Kemudian Umar
memerintahkan mereka mengerjakan secara berjemaah dan beliau melantik Ubai bin
Kaab sebagai imam.
Solat Tarawih boleh
dilakukan secara bersendirian, namun lebih afdal dilakukansecara berjemaah.
Perkara ini berdasarkan
hadis Nabi bermaksud: “Seseorang lelaki yang bersolat (Tarawih) bersama imam
hingga imam itu pulang (selesai mengerjakan solat), ia dikira telah bangun
(beribadat) keseluruhan malam.”
No comments:
Post a Comment