DR Yusuf Qardhawi dalam kitabnya ‘al-Ibadah Fil Islam’
mengungkapkan ada lima rahsia utama puasa yang membolehkan kita merasakan
kenikmatan dalam ibadat ini.
1- Menguatkan jiwa.
Dalam hidup, kita mendapati ada manusia yang dikuasai hawa
nafsu. Manusia seperti ini, menuruti apa yang menjadi keinginannya,
meskipun ia sesuatu yang batil serta mengganggu dan merugikan orang
lain. Oleh itu, dalam Islam ada perintah untuk memerangi hawa nafsu dengan
maksud berusaha untuk menguasainya. Bukan membunuh nafsu yang membuat kita
tidak mempunyai keinginan terhadap sesuatu bersifat duniawi. Sekiranya
dalam peperangan ini (hawa nafsu) manusia mengalami kekalahan, malapetaka besar
akan berlaku. Perkara ini kerana manusia yang kalah itu akan mengalihkan
pengabadiannya daripada Allah kepada hawa nafsu yang cenderung mengarahkan
manusia kepada kesesatan.Allah memerintahkan kita memerhatikan masalah ini
dalam firman-Nya bermaksud: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan
hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan
ilmu-Nya.” (Surah al-Jaathiyah, ayat 23) Dengan puasa, manusia akan
berjaya menguasai nafsunya yang membuat jiwanya menjadi kuat. Dengannya manusia
memperoleh darjat tinggi serta menjadikannya mampu mengetuk dan membuka pintu
langit hingga segala doanya dimakbulkan Allah. Rasulullah bersabda,
ertinya : “Ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Orang yang berpuasa
hingga berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis
riwayat at-Tirmizi)
2- Mendidik keinginan ke arah kebaikan.
Puasa mendidik seseorang untuk memiliki keinginan kepada
kebaikan, meskipun menghadapi pelbagai rintangan. Puasa yang dikerjakan secara
terbaik akan membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang
baik. Rasulullah menyatakan bahawa puasa itu setengah daripada
kesabaran. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Puasa itu sebagai benteng”
(daripada serangan keburukan). Dalam kaitan ini, puasa akan menjadikan
rohani seorang Muslim semakin ampuh. Kekuatan rohani unggul ini akan membuatkan
seseorang itu tidak akan lupa diri, meskipun sudah mencapai kejayaan atau
kenikmatan duniawi. Kekuatan rohani juga akan membuat seorang Muslim tidak
akan berputus asa meskipun penderitaan yang dialami sangat sulit.
3- Menyihatkan badan.
Di samping kesihatan dan kekuatan rohani, puasa memberikan
pengaruh positif berupa kesihatan jasmani (tubuh dan anggota badan). Hal ini
tidak hanya dinyatakan oleh Rasulullah, malah dibuktikan oleh doktor atau ahli
perubatan.
4- Mengenal nilai kenikmatan dan bersyukur.
Dalam hidup ini, sebenarnya terlalu banyak kenikmatan
diberikan oleh Allah kepada manusia, tetapi ramai yang tidak mensyukurinya.
Dapat satu tidak terasa nikmat kerana menginginkan dua. Dapat dua tidak terasa
nikmat kerana menginginkan tiga dan begitulah seterusnya. Maka, dengan
puasa manusia bukan hanya disuruh memperhatikan dan merenungi kenikmatan yang
diperoleh, malah diminta merenung nikmat Allah kepada kita. Di sini, pentingnya
puasa bagi mendidik untuk menyedari betapa tingginya nilai kenikmatan yang
Allah berikan supaya kita menjadi orang yang pandai bersyukur dan tidak
mengecilkan erti kenikmatan daripada Allah. Rasa syukur memang akan membuat
nikmat itu bertambah banyak, baik dari segi jumlah atau paling tidak dari segi
rasanya. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur,
pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari
(nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).
5- Mengingati dan merasakan penderitaan orang lain.
Berlapar dan dahaga memberikan pengalaman bagaimana beratnya
penderitaan yang dirasakan orang lain. Pengalaman berlapar dan haus itu akan
segera berakhir hanya dengan beberapa jam (lebih kurang 12 atau 13 jam),
sementara penderitaan orang lain entah bila berakhir. Dari sini puasa akan
melahir dan memantapkan rasa simpati kita kepada kaum Muslimin lainnya yang
hidup dalam kemiskinan dan menderita. Oleh itu, sebagai simbol daripada
rasa simpati itu, sebelum Ramadan berakhir, kita diwajibkan untuk menunaikan zakat
(fitrah). Hal ini supaya dengan itu setahap demi setahap kita mampu mengatasi
persoalan umat yang menderita. Bahkan, zakat tidak hanya bagi kepentingan orang
miskin dan menderita, malah menghilangkan kekotoran jiwa berkaitan harta
seperti gila harta dan kikir. Allah berfirman bermaksud: “Ambillah zakat
daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersih dan
menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu
(menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha
Mengetahui.” (Surah at Taubah, ayat 103).
No comments:
Post a Comment